Sebahagian besar
struktur PdPR melibatkan pembelajaran secara dalam talian.
Lebih sebulan
perlaksanaannya, pelbagai kisah tular mengenai pengalaman guru, para pelajar
dan ibu-bapa tentang amalan norma baharu ini.
Tidak kurang ramai
yang mengeluh kerana jumlah ‘kehadiran’ kurang memberangsangkan manakala
terdapat juga ibu-bapa sering ‘memantau’ ketika guru melaksanakan tugas.
Perbadanan Ekonomi
Digital Malaysia (MDEC) dalam kenyataan memberitahu, dalam menjadikan guru
tempatan lebih kreatif dan peka terhadap teknologi digital pihaknya membuat
persiapan awal untuk membantu golongan itu.
Katanya, melalui
program #CikguJuaraDigital, MDEC mencari guru yang boleh menjadi penanda aras
berkaitan dengan teknologi pendidikan di Malaysia.
Salah seorang
peserta, Norhailmi Abdul Mutalib, 40, berkata, selepas program itu, beliau
menyertai pula bengkel TikTok anjuran MDEC dan mendapati penggunaan aplikasi
itu berpotensi besar untuk membantu dalam proses pembelajaran.
“Selepas itu, saya
mula menghasilkan akaun TikTok pada Oktober lalu dengan memuat naik kandungan
video tentang nota subjek Sains.
"Ada
ketikanya, saya turut merakamkan eksperimen ringkas untuk memudahkan pelajar
memahami topik yang sedang dibincangkan,” katanya baru-baru ini.
Guru Sains Sekolah
Menengah Kebangsan (SMK) Jerlun, Kedah itu berkata, kaedah berkenaan sangat
membantu kerana kandungan video berdurasi lebih pendek.
“Ini sekaligus
menjimatkan kuota internet para pelajar berbanding mengikut tele-pembelajaran
yang mengambil masa lebih lama dan menyebabkan penggunaan data yang lebih
tinggi.
"Bukan semua
pelajar saya melanggan pelan internet secara bulanan kerana ada yang membeli
data berdasarkan pakej harian,” katanya.
Sementara itu,
seorang lagi guru, Ahmad Adham Berhaumidin turut berkongsi pengalaman
menggunakan aplikasi media sosial dalam PdPR untuk memudahkan para pelajarnya.
Guru Matematik
Tambahan di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang Selangor berkata, menerusi
pengintegrasian maklumat yang dikongsi MDEC, telah membuka ruang untuk
meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat (ICT)
dalam kalangan guru.
“Ini dapat meningkatkan kecekapan PdPR. Saya tidak
bergantung kepada satu jenis media sosial sahaja sebaliknya lebih pelbagai
menerusi penggunaan Facebook, YouTube, blog dan juga Twitter,” katanya.
Ujar Ahmad Adham,
akaun YouTubenya iaitu dehewaraspak kini telah diikuti hampir
1,500 pelayar yang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang
penyelesaian masalah dalam subjek Matematik Tambahan.
“Saya turut
menyediakan soalan -soalan contoh Matematik dan menyediakan slot sembang santai
bersama para pelajar untuk memastikan mereka mempunyai ruang untuk bertanya secara
dalam talian,” katanya.
Bagi Naib Presiden
Bahagian Kemahiran Digital dan Kerjaya Digital MDEC, Dr Sumitra Nair, kumpulan
guru yang dilatih MDEC mempunyai daya tahan, kreatif dan peka teknologi untuk
memastikan para pelajar mereka tidak tertinggal di sebabkan situasi luar jangka
yang sedang dihadapi ketika ini.
"Kumpulan
Cikgu Juara Digital yang dilatih MDEC tidak menjadikan wabak COVID-19 sebagai
halangan untuk mereka terus mendidik. Mereka juga tidak buntu terhadap
teknologi sebaliknya mereka terus belajar, memimpin dan berkongsi amalan
terbaik dan bersama -sama mengharungi detik sukar bersama para pelajar.
"Guru-guru ini
menjadi inspirasi bagi mereka yang bercita-cita untuk menyumbang lebih banyak
terutamanya pada masa sukar ini," katanya.
Dipetik dan diubahsuai daripada: Astro Awani, 10 Feb 2021.
0 Comments