Istilah ‘pendidikan jasmani’ (PJ)
digunakan secara implisit sejak zaman primitif lagi (Wee Eng Hoe, 1994: m.s.
1). Namun begitu dalam konteks Malaysia, kemungkinan istilah ini mula
diperkenalkan oleh orang British di zaman pemerintahan British di Tanah Melayu.
Walaupun sekian lama istilah pendidikan jasmani digunakan, persoalan tentang pengertiannya
masih lagi wujud dimana pendidikan jasmani ini keseluruhannya dianggap sebagai
sukan dan sesi pendidikan jasmani banyak membawa pengertian sukan.
Mungkin ini disebabkan kurikulum
pendidikan jasmani terdiri daripada sukan ataupun kurikulum pendidikan jasmani
pada asasnya lebih mementingkan sukan. Menurut Armstrong (1990), konsep
pendidikan jasmani dan sukan adalah berbeza. Sebagai contoh ialah pendidikan
jasmani adalah melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, manakala sukan
hanyalah berbentuk rekreasi. Pendidikan jasmani biasanya dikendalikan oleh guru
manakala sukan dikendalikan oleh jurulatih yang mahir bagi sukan tertentu.
Pendidikan jasmani lebih berpusatkan pelajar dan pembangunan diri pelajar,
namun sukan lebih berpusatkan sukan dan pembangunan bidang sukan tersebut.
Akauntabiliti akademik dalam pendidikan jasmani
Kebanyakan golongan pendidik memberi persepsi
yang negatif terhadap subjek pendidikan jasmani. Kebanyakan pendidik mengangap
pendidikan jasmani sebagai subjek main-main dan hanya berbentuk ko-kurikulum
yang tidak berbentuk akademik. Maka pendidikan jasmani tidak diajar dengan betul
sebagaimana yang dibincangkan dalam teori menyebabkan kualiti pengajaran dan
pembelajaran bagi subjek ini tidak mencapai objektifnya.
Lebih malang ada sesetengah sekolah tidak
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan jasmani kerana
beranggapan subjek ini tidak bersifat akademik dan tidak penting dalam
peperiksaan. Maka pihak pengurusan sekolah tidak mengambil berat terhadap
pelaksanaan subjek pendidikan jasmani di sekolah dan menganggap semua guru
mampu mengajarnya.
Apabila guru yang tidak berkemahiran dalam
subjek pendidikan jasmani mengajar pendidikan jasmani di sekolah, kesan yang
buruk akan terhasil. Sebagai contoh ialah kegagalan pencapaian matlamat dalam
pendidikan jasmani di sekolah iaitu pertumbuhan otot-saraf, pertumbuhan
organan, pertumbuhan sosial dan emosi dan meningkatkan pengamatan dan
persefahaman dikalangan pelajar.
Oleh itu bagi mengatasi masalah ini,
jurang akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani dengan subjek-subjek
akademik lain mesti dikurangkan. Diantara strategi untuk meningkatkan
akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani ialah mesti melaksanakan
proses pengajaran dan pendidikan yang betul oleh guru yang berkelayakan.
Pengujian, pengukuran dan penilaian pendidikan jasmani
Selain melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran dalam pendidikan jasmani, guru pendidikan jasmani juga perlu
melaksanakan proses pengujian, pengukuran dan penilaian subjek pendidikan
jasmani. Ianya sangat penting untuk memberi maklum balas terhadap pembelajaran
pendidikan jasmani bagi membangunkan akauntabiliti akademik pendidikan jasmani.
Diantara kepentingan penilaian ialah dapat memotivasikan pelajar untuk terus
belajar. Menurut Veal (1991), bagi memotivasikan pelajar belajar, guru mestilah
menghargai nilai aktiviti tersebut dan memastikan pelajar dapat mencapai dan
mampu berjaya jika mereka mencurahkan usaha yang setimpal.
Sebagai tenaga pengajar, guru Pendidikan
Jasmani dan Sains Sukan perlu memiliki kemahiran dan pengetahuan serta memahami
prosedur untuk melakukan sesuatu pengujian, pengukuran dan penilaian.
Pengujian, pengukuran dan penilaian ini adalah merupakan cara untuk mengesan
sama ada matlamat dan objektif telah tercapai atau tidak. Hasil daripada
maklumat ini dapat membentuk proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih
baik.
Masalah perbezaan penggredan berlaku dalam
Pendidikan Jasmani yang mana pengukuran tidak dapat mewujudkan penghasilan
kebolehan prestasi sebenar pelajar. Penggredan seharusnya melihat kepada
kemampuan dalam melakukan kemahiran yang dilatih. Oleh itu, pelajar harus
diberi peluang untuk menyertai pelbagai jenis aktiviti fizikal serta masa yang
mencukupi untuk berlatih kemahiran, seterusnya mencapai gred yang lebih baik.
Penekanan betapa pentingnya hubungan
antara penilaian dan pengajaran dan ketepatan sesuatu penilaian yang dibuat
akan memberi kesan yang besar terhadap pengalaman pengajaran yang dialami
pelajar.
Tujuan asal pengajaran adalah untuk
membantu dan menolong para pelajar memperolehi pelajaran yang diinginkan dari
segi domain kognitif, afektif dan psikomotor dan untuk mencapai matlamat
penilaian ianya hendaklah dilakukan dengan sistematik bagi mengangarkan sejauh
mana objektif intruksional yang dicapai oleh para pelajar.
Tumpuan terhadap akauntabiliti yang
semakin meningkat telah membentuk suatu
keperluan untuk pengukuran dan penilaian. Keperluan ini telah dirasa pada
setiap tahap di segenap penjuru pendidikan dan Pendidikan Jasmani juga tidak
terkecuali.
Setiap guru perlulah bijak menguji
kemahiran yang dikehendaki kerana guru merupakan penguji yang layak kerana
mereka tahu tentang prestasi pelajarnya berbanding penguji luar atau ujian yang
serupa. Masalah utama yang dihadapi oleh guru pendidikan jasmani ialah untuk
membuat pemarkahan (grading) terhadap pendidikan jasmani kerana tiada prosedur
dan kaedah yang jelas untuk melaksanakannya.
Pendidik
pendidikan jasmani dapat menguji kemampuan motivasi pelajar dalam penggredan
dengan kaedah berikut:
1) Menggunakan penilaian rujukan criteria
berdasarkan pencapaian dan objektif yang jelas seperti yang dinyatakan dalam
buku rujukan pendidikan jasmani
2) Elakkan penilaian rujukan norma walaupun
ia dapat membantu guru menilai kemampuan murid, ia selalu di salah gunakan. Ia
boleh melemahkan pelajar yang lembab dan menjadikan sukan untuk menentukan samada
murid telah menguasai kemahiran asas.
3) Elakkan penggredan lulus–gagal atau kredit
dan tidak kredit. Sistem ini kadangkala menyebabkan pencapaian yang rendah dan
kehendak untuk melakukan yang terbaik tidak sama berbanding pelajaran lain. Ia
juga menggalakkan sikap yang negatif terhadap pendidikan jasmani.
Terdapat beberapa perinsip yang perlu
dipatuhi dalam penggredan. Diantaranya ialah gred yang diberikan mestilah
berkait terus dengan objektif pengajaran dan pembelajaran, mempunyai kesahan,
kebolehpercayaan dan objektiviti yang tinggi. Kaedah pemberatan perlulah
digunakan bagi setiap unit pengajaran agar tumpuan dapat diberikan dengan
tepat. Kaedah penggredan juga perlulah mudah ditadbir dan mudah difahami oleh
semua pihak termasuklah guru, pelajar dan keluarga pelajar. Seterusnya gred
yang diberikan harus dapat membezakan pencapaian pelajar yang baik dan lemah.
Walaupun penyelidik kajian lampau berjaya
menghasilkan bateri ujian kecergasan motor, tetapi hasil kajian mereka masih
kurang digunakan oleh guru Pendidikan Jasmani bagi mengukur kecergasan motor
pelajar. Adalah terlalu sukar bagi guru Pendidikan Jasmani untuk menggunakan
bateri ujian tersebut. Ini terutamanya kerana kebanyakan ujian yang terdapat
dalam bateri ujian tersebut tidak dinyatakan prosedur ujian yang lengkap dan
piawai.
Kandungan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Buku Panduan Guru Pendidikan
Jasmani hanya menyatakan jenis ujian kecergasan motor yang mesti dijalankan
tetapi tidak menyediakan prosedur menjalankan ujian. Tanpa prosedur ujian yang
piawai, guru Pendidikan Jasmani tidak dapat menjalankan ujian dengan berkesan.
Keseluruhannya, penilaian yang berkaitan dengan
prestasi kecergasan motor pelajar dapat dijalankan dengan lebih berkesan
setelah guru Pendidikan Jasmani memahami tujuan sebenar pengujian dan
pengukuran ujian kecergasan motor. Guru Pendidikan Jasmani juga perlu benar‑benar
mengetahui semua perinsip‑prinsip pengujian dan pengukuran sebelum menjalankan
ujian kecergasan motor. Kegagalan guru menguasai prosedur menjalankan ujian
kecergasan motor akan menjejaskan kesahan dan kebolehpercayaan ujian. Kesan
daripada kegagalan menggunakan prosedur ujian yang tepat menyebabkan data yang
diperoleh adalah meragukan. Sebarang bentuk penilaian yang dibuat oleh guru
berdasarkan keputusan ujian yang meragukan akan menjejaskan prestasi kecergasan
motor pelajar.
Setiap perubahan perlu dalam konteks
meningkatkan prestasi pelajar dalam sukan supaya bakatnya itu dapat di gilap
bagi menentukan hala tujunya dalam bidang sukan. Sekiranya tiada pembaharuan
dalam pengukuran penilaian prestasi pelajar, hala tuju Malaysia sebagai sebuah
negara untuk melahirkan bakat-bakat dalam arena sukan mungkin tidak kesampaian.
Oleh itu perlulah di perbaiki dari peringkat bawahan terutama di sekolah dalam
memberikan pengukuran yang bermakna dalam mengenal pasti pelajar-pelajar yang
berbakat dalam pendidikan jasmani khususnya dan sukan secara amnya. Sekiranya
perkara ini dititikberatkan nescaya prestasi sukan di negara ini dapat
ditingkatkan sebaik mungkin.
Menurut Larry (1990), ruang antara teori
dan praktis seharusnya dikurangkan dengan memberi penumpuan utama terhadap
teknik yang mudah, efesyen dan boleh digunakan secara meluas dan ramai, tapi
mengekalkan tahap kebolehpercayaan, kesahan dan keobjektifan yang boleh
diterima.
Sesungguhnya secara jelas, yang cara
pengajaran serta penilaian yang sistematik amat diperlukan khususnya dalam konteks
Pendidikan Jasmani di Malaysia. Apa yang berlaku kini, pengukuran dan penilaian
kurang diberi keutamaan di kalangan guru Pendidikan Jasmani. Salah satu sebab
utamanya adalah dikaitkan dengan masalah masa pengurusan. Contohnya, Pendidikan
Jasmani hanya dijalankan selama 50 minit seminggu. Ini mendatangkan masalah
kepada guru untuk merekod, menganalisis dan melaporkan keputusan ujian dengan
sistematik dan berkesan. Disamping itu juga guru-guru kekurangan pengetahuan
tentang cara dan teknik penilaian yang sistematik.
Bahaya dalam pendidikan jasmani
Sebagaimana yang diketahui, pendidikan jasmani
melibatkan aktiviti fizikal dikalangan pelajar dan lebih berisiko berlakunya
kecederaan jika guru gagal untuk mengambil langkah keselamatan yang
dipertanggungjawabkan ke atasnya. Kefahaman berkenaan keselamatan dalam
pendidikan jasmani amat penting bagi mencegah berlakunya kecederaan terhadap
murid melalui cara pengajaran atau latihan yang lebih baik (Wee Eng Hoe, 1994:
m.s. 89). Ia juga dapat melindungi pihak sekolah daripada tindakan
undang-undang yang tidak perlu akibat kecederaan yang ringan.
Pengawasan
yang cekap merupakan tanggungjawab setiap guru pendiidkan jamani. Mereka bukan
sahaja dijangka cekap dalam setiap aktiviti yang dikendalikannya, malah mereka
diharap berkeupayaan untuk mengawasi murid dalam tempoh pengajaran dan
pembelajaran.
Setiap
guru pendidikan jasmani seharusnya mempunyai panduan am yang boleh dilaksanakan
bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan. Kecederaan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani sering berlaku disebabkan guru
tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai aktiviti yang dijalankan
ditambah pula kegagalan merancang pengajaran dan latihan dengan berhati-hati.
Oleh itu guru seharusnya menetapkan dan menerangkan peraturan keselamatan untuk
kemudahan pendidikan jasmani kepada pelajar sebelum melakukan akitiviti. Guru
juga seharusnya mempunyai rancangan pengajaran atau program latihan yang teliti
meliputi:
1) Menolong pelajar peka terhadap kemalangan
yang mungkin berlaku,
2) Perancangan dan pengetahuan tentang bahan
yang diajar,
3) Pengetahuan tentang tahap kebolehan
pelajar atau pelatih.
Semasa mengajar, guru juga seharusnya
tidak meninggalkan kelas atau tempat aktiviti dijalankan tanpa pengawasan
disebabkan masalah peribadi seperti ingin mendengar telefon, menjaga anak di
tepi gelanggang atau bercakap dengan orang lain. Guru pendidikan jasmani
mestilah memakai pakaian yang sesuai dan sentiasa bersama pelajar semasa
aktiviti fizikal berjalan.
Terdapat sebahagian guru yang mengajar
pendidikan jasmani tidak memakai pakaian yang sesuai dan hanya membiarkan
pelajar bermain dipadang tanpa pengawasan yang rapi. Pelajar yang berada di
bawah pengawasan guru pendidikan jasmani seharusnya sentiasa boleh dilihat agar
dapat diawasi. Guru juga tidak boleh membiarkan pelajar menggunakan kemudahan
pendidikan jasmani tanpa pengawasan guru pendidikan jasmani. Seperti contoh
ialah penggunaan bilik kecergasan atau gimnasium seharusnya ada seorang penjaga
yang dapat mengawasi perjalanan aktiviti pelajar. Dalam keadaan yang tiada
pengawasan, tempat-tempat sebegitu seharusnya dikunci.
Namun terdapat pentadbir sekolah yang
meletakkan guru tidak berkelayakan dan berkebolehan untuk mengendalikan kelas
pendidikan jasmani. Ini telah meningkatkan lagi risiko berlakunya kecederaan
akibat kekurangan pengetahuan dan kefahaman guru tersebut untuk mengendalikan
kelas pendiidkan jasmani. Oleh itu, guru yang ditugaskan untuk mengajar
pendidikan jasmani tetapi kurang berbolehan seharusnya memberitahu pihak
pentadbir tentang tahap kebolehannya. Guru pendidikan jasmani seharusnya
mengambil langkah-langkah tertentu untuk mempertingkatkan kebolehan diri kerana
guru tidak seharusnya mengajar aktiviti tanpa pengetahuan yang mencukupi.
Langkah-langkah
keselamatan perlu diambil bagi mencegah kemalangan semasa sesi pendidikan
jasmani. Bagi aktiviti yang melibatkan penggunaan alatan sukan, guru harus
memastikan peralatan sukan yang digunakan adalah sentiasa selamat. Alat-alat
pencegah kemalangan mesti diwajibkan kepada pelajar seperti pelindung muka
untuk penjaga gol hoki dan mesti sentiasa dalam keadaan yang baik. Pelajar
diwajibkan untuk memakai pelindung dalam apa-apa keadaan sekali pun. Sebagai
contoh yang lain ialah pelajar mesti memakai shin-guard dalam hoki dan
penjaga lutut dalm bola tampar.
Bagi
aktiviti tertentu, pelajar tidak dibenarkan melakukannya secara bersendirian
dan perlu kepada pembantu atau penyokong. Seperti aktiviti gimnastik dalam
pendidikan jasmani dan aktiviti angkat berat atau latihan beban mesti
menggunakan penyokong untuk membantu pelajar melakukan aktiviti. Guru boleh
mengajar palajar cara menyokong dan setiap pelajar mesti diajar untuk berbuat
demikian. Jika perlindungan atau langkah keselamatan gagal disediakan, aktiviti
perlulah diubahsuai mengikut kreativiti guru agar lebih selamat.
Bagi
setiap pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani, guru harus bijak memilih
aktiviti kepada pelajar. Risiko kecederaan dalam pendidikan jasmani akan
meningkat jika guru gagal memilih aktviti yang sesuai dengan pelajar
berdasarkan umur, saiz dan tahap keupayaan atau kemahiran pelajar. Aktiviti
mestilah dirancang dengan rapi dan mengikut perinsip-perinsip ansur maju.
Arahan yang diberi mestilah jelas terutamanya bagi aktiviti yang baru
diperkenalkan untuk mengelakkan kesilapan yang mungkin mendatangkan kecederaan.
Guru mesti memastikan semua pelajar memahami dengan jelas setiap arahan yang
diberikan sebelum memulakan aktiviti fizikal.
Aktiviti
ysng dipilih mestilah sejajar dengan kebolehan pelajar. Pemilihan aktiviti yang
sesuai amat penting untuk mengekalkan motivasi pelajar untuk belajar dan
memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani tercapai.
Guru tidak boleh memaksa pelajar melakukan aktiviti diluar kemampuan atau
keinginan pelajar tersebut seperti pelajar dengan kaki yang sakit tidak boleh
dipaksa untuk melompat.
Aktiviti
yang dipilih mestilah mengambil kira perbezaan kebolehan pelajar dan
menyediakan program yang berperingkat demi mementingkan ciri-ciri
individualistik pelajar. Pelajar yang berkebolehan rendah mestilah melakukan
aktiviti yang mengikut tahap kebolehannya.
Dougherty (1981) melaporkan bahawa
kecederaan yang melibatkan aktiviti sukan berbentuk sentuhan mencapai tahap 50%
dan aktiviti sukan tanpa sentuhan sebanyak 10% daripada jumlah kos kecederaan
yang telah dilaporkan secara rasmi. Dalam usaha mengurangkan kecederaan,
langkah pencegahan seharusnya diwujudkan dalam program pendidikan jasmani.
Menurut
Gray (1991), proses pengurusan bahaya dilaksanakan mengikut langkah-langkah
berikut:
1) Mengenal pasti bahaya yang berkaitan
dengan sukan dan aktiviti fizikal.
2) Menilai bahaya untuk menentukan
kebarangkalian berlakunya dan ketenatannya jika bahaya berlaku.
3) Memilih kaedah yang sesuai untuk menguruskan
setiap bahaya termasuk pengankutan, pengelakan, pengurangan dan pengekalan.
4) Melaksanakan prosedur pentadbiran yang
sesuai untuk menggerakkan pelan pengurusan bahaya.
Apabila seseorang pelajar tercedera semasa
aktiviti pendidikan jasmani, adalah penting untuk guru mendokumentasikan secara
terperinci kecederaan yang berlaku itu. Laporan kecederaan itu akan menjadi
rujukan doktor dan mahkamah jika kes itu menjadi kes mahkamah. Ia juga menolong
kita mengenalpastikan dan menghapuskan faktor-faktor yang menyebabkan
kecederaan tetapi boleh dicegah.
Rujukan
Armstrong, N.
(1990). (Ed). New Directions in Physical Education: Volume 1, Champaign.
IL: Human Kinetics.
Julismah Jani.
(2007). Pengenalan Ilmu Konten Pedagogi Dalam Pendidikan Jasmani Dan Sains
Sukan. Tanjong Malim: Penerbit Iniversiti Pendidikan Sultan Idris.
Dougherty, N.J.
(1981). ‘Are You an Effective Risk Manager?’: Athletic Purchasing and
Facilities, 5:18-21.
Larry, D.H.
(1990). Current Measurement and Evaluation Practices in Professional Physical Education.
Journal of physical education, recreation
& dance. Mac 1990. Academic Research Library.
Veal M.L. (1991).
A badminton tournament that motivates students. Journal of physical education, recreation & dance. Nov 1991.
62(9), 34-37; Academic Research Library.
7 Comments
Anak lelaki saya cedera di bahagian kiri kaki, tulang femur dia rentak
Helen
0167725801
helenchongkh@yahoo.com
sila rujuk dengan PK HEM sekolah. pernah anak murid saya mengalami kecederaan semasa latihan hoki, guru penasihat hokinya telah uruskan claim dengan yarikat insurans kerana kejadian berlaku dalam sekolah.
mungkin tuan buleh bertanya guru penolong kanan atau pengetua...