KAPIT 16 Jun - Seorang peserta Program Titian Kasih, Raihanah Ramely, 25, tanpa berselindung mengaku cukup terkejut dengan arus kemodenan penduduk Rumah Panjang Belikau.
Katanya, ia adalah kunjungan pertamanya ke rumah panjang dan menganggapnya sebagai satu pendedahan yang istimewa.
"Sebelum ini ketika belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM), saya memang mempunyai ramai kawan yang berasal dari Sarawak dan mereka selalu bercerita mengenai kehidupan mereka di rumah panjang.
"Apabila tiba di sini, saya agak terkejut kerana Rumah Panjang Belikau sangat moden dan tidak sebagaimana yang saya bayangkan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Adham Berhaumidin, 26, menyifatkan kunjungan ke rumah panjang ibarat satu nilai tambah kepadanya untuk meningkatkan kualiti pengajaran.
Katanya, melalui kunjungan itu, dia berpeluang mendapatkan gambaran latar belakang, gaya hidup dan adat resam anak muridnya.
"Ini kerana seseorang pelajar itu lebih menghargai seseorang guru yang tahu mengenai kehidupan mereka, contohnya guru Semenanjung yang boleh berbahasa Iban walaupun untuk perbualan asas lebih mudah mendekati para pelajarnya.
"Selepas ini jika saya ditukarkan ke Semenanjung, sekurang-kurangnya ada cerita dan pengalaman yang boleh saya kongsi dengan pelajar saya di sana kelak." katanya.
(Dipetik dan diubahsuai daripada Utusan Malaysia, 17 Jun 2011)
2 Comments