KEHADIRAN rombongan guru dari Semenanjung disambut meriah oleh murid-murid sekolah di Rumah Panjang Belikau, Pulau Raya, Kapit, Sarawak, baru-baru ini. - Gambar IHSAN/AHMAD ADHAM.
KAPIT 16 Jun - Masyarakat keturunan Iban di negeri ini sememangnya terkenal sebagai antara etnik yang ramah serta sangat menghargai para tetamunya.
Tidak terkecuali menerima layanan mesra mereka ialah seramai 30 guru dari Semenanjung yang bertugas di bahagian ini sewaktu mereka mengadakan kunjungan mesra ke Rumah Panjang Belikau, Pulau Raya di Nanga Encheremin di sini baru-baru ini.
Kunjungan itu adalah bersempena Program Titian Kasih yang dianjurkan oleh Kelab Street Futboler Airport (SFA), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit.
Pengerusi Kelab SFA, Hafis Mohamad Dom berkata, program itu dianjurkan bagi merapatkan hubungan warga pendidik dengan penduduk setempat khususnya masyarakat Iban yang tinggal di rumah panjang.
Katanya, ia merupakan satu pendedahan kerana bukan semua orang berpeluang mengunjungi rumah panjang dan melihat kehidupan masyarakat Iban yang terkenal dengan gaya hidup unik, mudah mesra serta berkebolehan menghasilkan pelbagai barangan kraf tangan.
"Sebelum ini kami pernah mengadakan program yang sama di beberapa buah rumah panjang lain, apabila mendapat reaksi positif daripada penduduk serta guru-guru dari Semenanjung yang berminat untuk menyertai aktiviti dianjurkan, kami mengambil keputusan memilih Rumah Panjang Belikau sebagai destinasi.
"Rumah ini dipilih kerana terdapat beberapa pelajar SMK Kapit yang berasal dari sini selain hubungan baik di antara warga sekolah dengan penduduk Rumah Panjang Belikau," katanya yang sudah lebih dua tahun berkhidmat di SMK Kapit.
Selain mendekati masyarakat rumah panjang, melalui Program Titian Kasih, mereka turut menyampaikan sumbangan berupa buku rujukan, buku latihan ulang kaji serta buku nota untuk para pelajar di Rumah Panjang Belikau.
Kata Hafis, sumbangan buku itu adalah simbolik bahawa pelajaran sangat penting kepada setiap anggota masyarakat dan anak-anak di rumah panjang yang merupakan aset paling berharga bagi sesebuah keluarga.
Sementara itu, tuan rumah, Belikau Jana menyifatkan kehadiran rombongan yang terdiri daripada warga pendidik SMK Kapit, SMK Selirik, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Amang dan SK Sungai Kapit yang berasal dari Semenanjung sebagai detik paling bersejarah di rumah tersebut.
Katanya, sepanjang menjadi tuan rumah sejak 1996, ini merupakan kali pertama aktiviti seumpama itu diadakan.
"Kami gembira menerima tetamu yang terdiri daripada tenaga pendidik, bukan setakat dapat beramah mesra, malah kami dapat bertanya sendiri kepada guru-guru mengenai perkembangan anak-anak kami di sekolah.
"Maklumlah untuk ke sekolah bukannya dekat kerana kami perlu menaiki perahu panjang hampir satu jam untuk ke pekan Kapit," katanya.
Dalam program itu juga, peserta yang terlibat turut berpeluang merasai sendiri pengalaman memasak pansoh ikan dan ayam yang merupakan teknik masakan masyarakat Iban yang menggunakan buluh.
Katanya, aroma daripada buluh itu memberikan rasa yang tersendiri kepada ikan atau ayam yang dimasak.
"Kalau masyarakat Iban, bahan yang kami gunakan untuk memasak pansoh ayam atau ikan hanyalah bunga kencala atau bunga kantan, garam dan gula.
"Tetapi kini seiring dengan kemodenan, ada juga mereka yang menggunakan pelbagai bahan sampingan lain antaranya kicap, sos tiram, serbuk perasa, halia, bawang putih dan bawang merah," katanya.
(Dipetik dan diubah suai daripada Utusan Malaysia, 17 Jun 2011)
2 Comments